Filled Under:

DALAM NEGARA – KLINIK SWASTA HANYA CAJ RM20 UNTUK SEMUA JENIS RAWATAN,SEBARKAN KEPADA YANG TAK MAMPU.

DALAM NEGARA – KLINIK SWASTA HANYA CAJ RM20 UNTUK SEMUA JENIS RAWATAN,SEBARKAN KEPADA YANG TAK MAMPU. 





Klinik Waqfeya menawarkan perkhidmatan dengan hanya caj RM20 kepada pesakit di Taman Bukit Kubu Jaya, Kuala Perlis. utusan/ Muhamad Iqbal Rosli


Ruang rawatan yang bersih dan lengkap memberikan keselesaan kepada para pesakit ketika mendapatkan rawatan di Klinik Waqfeya.


MOHD. Rizal Azizan bersama pembantu klinik menunjukkan bunting Klinik Waqfeya yang menawarkan perkhidmatan termurah di Taman Bukit Kubu Jaya, Kuala Perlis.

Klinik Waqfeya di Kuala Perlis bantu asnaf sejak 6 November lalu

KANGAR 23 Nov. – Bagi membantu orang ramai menangani kenaikan pelbagai harga barang, sebuah klinik di Kuala Perlis dekat sini, tampil memperkenalkan caj perundingan dan ubat-ubatan hanya RM20 seorang pesakit bagi semua jenis rawatan.

Pakej harga yang diperkenalkan Klinik Waqfeya iaitu sebuah klinik wakaf, bermula 6 November lalu itu dianggap minimum berbanding kos untuk rawatan beserta ubat-ubatan di klinik-klinik lain yang mencecah antara RM30 hingga RM50.

Sebelum ini, klinik yang beroperasi sejak dua tahun lalu itu menawarkan perkhidmatan dan ubat-ubatan secara percuma kepada golongan asnaf, tetapi mengenakan bayaran seperti biasa kepada orang lain.

Menurut Pengurus Klinik Waqfeya, Mohd. Rizal Azizan, pengurusan klinik itu bersetuju untuk menetapkan bayaran hanya RM20 bagi semua jenis rawatan dan ubat-ubatan.

“Kita dapati kos RM20 ini cukup untuk menampung kos operasi iaitu membayar gaji dua kakitangan klinik dan doktor selain kos sewa premis, bil elektrik serta air iaitu kira-kira RM1,500 setiap bulan.

“Klinik Waqfeya merupakan sebuah klinik wakaf yang bukan bermatlamatkan keuntungan sebaliknya ditubuhkan untuk mendapatkan ganjaran pahala.

“Sebelum ini, ia untuk membantu asnaf, tetapi kajian kita mendapati ramai daripada bukan golongan itu juga kurang berkemampuan,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Mohd. Rizal berkata, idea untuk mengenakan caj RM20 itu adalah bertujuan membantu orang ramai tanpa mengira kaum dan agama bagi mendapatkan rawatan perubatan.

“Kita jamin ubat diberikan adalah berkualiti yang diperoleh secara terus daripada pembekal di pusat bandar Kangar, Kedah dan Pulau Pinang.

“Terdapat enam orang doktor dari Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di Kangar bertugas bergilir-gilir di klinik ini dengan bayaran minimum,” katanya.

Beliau memberitahu, para pesakit di bawah panel seperti PMCare bagaimanapun tidak tertakluk kepada bayaran RM20. – Utusan